Saturday 9 March 2013

Takut dan Harap




“Kalau ada di lintasan di hati kita untuk berhijrah dari jiwa yang lalai kepada jiwa yang cintakan Allah s.w.t maka bersegeralah untuk melakukannya kerana percayalah bahawa itu adalah lintasan benar dari Allah s.w.t. Lintasan itu merupakan hidayah yang takkan datang selalu”

Inilah kata-kata yang menyentuh hati saya apabila membaca novel Seindah Mawar Berduri karya Fatimah Syarha. Inilah novel Islamik Malaysia yang pertama saya baca selepas novel Ketika Cinta Bertasbih, Habiburrahman El Shirazy dari Indonesia. Alhamdulillah, sangat bermanfaat dan sangat bermotivasi buat diri saya. Saya juga yakin, setiap orang yang membacanya pasti merasakan keindahan yang ada pada novel-novel tersebut.

Bukanlah barusan saya membaca novel-novel tersebut tetapi itu sudah lama..di waktu alam persekolahan dulu. Namun terasa ingin membacanya sekali lagi dan mengambil intipati penting di dalamnya sebagai motivasi hidup. Dan di sini bukanlah saya ingin bercerita mengenai novel tetapi ingin berkongsi apa itu “Takut & Harap” di sebalik kita menjalani ibadah kepada-Nya. Kerana kata-kata di atas menyentuh hati saya dan membuatkan saya menitiskan airmata secara tiba-tiba.

Takut menyusuri harap

Saya yakin, anda semua bijak memberi dan memahami maksud “takut” sesuai pada tempatnya...melalui pemahaman yang betul. Hakikatnya, takut ialah  mentaati Allah tanpa memaksiati-Nya, mengingati-Nya tanpa melupai-Nya, dan bersyukur kepada-Nya tanpa kufur terhadap-Nya. Bukanlah takut yang sebaliknya, iaitu takut yang tidak seimbang dengan harapan. Terleka dengan khayalan yang berpanjangan..

Perkara ini banyak menghalang seseorang yang lemah dan tidak istiqomah dalam beribadah kepada Allah.s.w.t. Apa yang lebih takut lagi, sedang Allah s.w.t memberi nikmat-Nya, jadi alpa menggunakan nikmat tersebut. Bukannya tiada perkara seperti ini berlaku..

Nikmat masa lapang..
harta kekayaan..
ilmu yang bermanfaat..
dan banyak lagi.

Nikmat mendapat hidayah adalah suatu perkara yang besar. Bila kita ada niat untuk berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik, kita perlu bersegera melakukannya. Tidak perlu menangguh lagi. Kecil atau besar penerimaannya tidak menjadi persoalan namun semangat untuk berubah itu lebih penting. Bukan semangat yang sementara. Bak kata pepatah melayu; hangat-hangat tahi ayam.

“Sesungguhnya hanya
orang-orang yang beruntung yang memperhatikan
gerak hatinya, iaitu yang selalu memperhatikan niatnya”

Bila Allah sudah memberi peluang, jangan sia-siakan peluang itu. Kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai bisikan nafsu dan syaitan yang merosakkan niat dan semangat suci kita. Bukanlah takut untuk menghadapi ujian dan dugaan Allah, Bukanlah tidak menerima takdir dan ketentuan-Nya. Namun perasaan takut yang akan melingkari diri itu berbentuk tipu daya. Dalam keadaan samar ia menimpa seseorang, padahal dia telah menyangka bahawa dia melakukan sebaik-baiknya.

Hayatilah kata ibnu Athailah: Merasa takutlah engkau daripada [keadaan di mana masih] wujud ihsan-Nya kepadamu sedangkan engkau tetap berkekalan melakukan kemaksiatan kepadaNya, bahawa perkara itu akan menjadi satu istidraj (tipu daya yakni tarikan beransur-ansur ke arah kebinasaan) bagimu. [Mafhum SÍrah al-Qalam ayat 44.]

Kalau seseorang telah selamat dari tipu daya syaitan hingga selesai amalnya, ingatlah…syaitan tidak putus asa. Dia kembali “menggeletek” hati orang tersebut dan merayu orang tersebut agar terus menyalahgunakan nikmat, dan syaitan menipunya dengan berkata; “kamu dah guna dengan sebaik-baiknya..”. Dan banyak lagi bentuk muslihatnya..

“Ya Allah, Engkau telah hadirkan aku satu perasaan yang tidak dapat aku tahan lagi..takut dan berharap pada-Mu selamanya..kekalkanlah ia dalam hatiku..”

Harap menyusuri takut

Saya masih berbicara mengenai lintasan hati. Ianya soal hidayah dan penghijrahan. Bukankah ia sebuah pengharapan?? Ia tidak akan berlaku pada seseorang dengan mudah melainkan itu kehendak-Nya. Dan untuk mendapat itu, perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Lintasan hati seperti itu tidak selalu hadir dalam diri kita. Ianya sangat mahal dan berharga bagi seseorang. Ia tidak boleh dibandingkan dengan emas, berlian, hatta wang yang banyak sekalipun. Dan ia hadir dalam bentuk yang istimewa sekali. Kita sendiri banyak mendengar cerita seseorang yang memperolehi hidayah dan seterusnya berhijrah dengan baik. Itulah bukti kasih sayang Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Tiada siapa yang mahu menolak dari mengharapkan kasih sayang Allah yang berterusan..berharap saja tidak sempurna jika tiada rasa takut yang mendalam terhadap-Nya.

الرَّجَاءُ مَا قَارِنَهُ عَمَلٌ وَإِلَّا فَهُوَ أُمْنِيَّةٌ

Pengharapan [yang sebenar] ialah apa yang disertai amal. Jika
tidak, ia [hanyalah setakat] angan-angan.
[Ibnu Athailah]

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda; Aku membahagi rasa takut dan harap agar tidak terkumpul pada diri seseorang di dunia sehingga dia akan menciumnya baunya neraka, dan tidak terpisah dalam diri seseorang di dunia, sehingga dia mencium baunya syurga.

Hadis ini menjelaskan bahawa untuk mewujudkan harapan harus disertai dengan rasa takut, harapan sahaja tidak mencukupi. Kedua-duanya perlu ada dalam diri kita. Mengikut pendapat mazhab Maliki, kita perlu perbanyakkan harapan ketika dalam keadaan sakit, manakala perbanyakkan rasa takut ketika dalam keadaan sihat. Biarlah kita berharap kepada Allah sepenuhnya untuk menghadirkan rasa takut selepas ini (setelah sihat). Bukan mengharapkan untuk sihat semata-mata. Tetapi untuk lebih merasa takut kepada-Nya. Kerana sakit itu penghapus dosa. Kerana sakit itu tarbiyah diri.

Manakala pendapat mazhab Syafi’I adalah seimbang kedua-duanya. Kadang-kadang melihat kekurangan diri sehingga takut dan kadang-kadang melihat kemurahan Allah sehingga memiliki harapan. Tidak kira dalam keadaan sakit atau sihat, kedua-dua hadir secara seimbang atau sama banyak. Kerana kita semua  akan berhadapan dengan Allah s.w.t kelak Maknanya, kita perlu bersangka baik kepada Allah s.w.t. Sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w; Janganlah salah seorang antara kamu mati kecuali dia berbaik sangka kepada Allah s.w.t.

Imam Syafi’I berkata ketika sakit yang mengakibatkan kematiannya:

Ketika hatiku mengeras dan menyempit tempat pergiku,
Aku jadikan harapan sebagai tangga untuk meraih maaf-Mu,
Dosaku yang besar ketika aku bandingkan dengan ampunan-Mu,
Wahai Tuhanku, maka ampunan-Mu lebih agung.

Semoga..dan...semoga..

Semoga anda tidak jemu membaca coretan saya yang panjang ini..
Semoga anda sentiasa bersemangat meneruskan hari-hari yang mendatang nanti..

Semoga anda semua memahami tentang “Takut & Harap” berdasarkan penjelasan hadis Rasulullah s.a.w  yang saya kongsikan di atas. Dan juga contoh-contoh yang lainnya. Saya masih belajar dan akan terus belajar. Sekiranya ada kesilapan di dalam coretan saya ini, tegurlah saya. Kerana saya “dahagakan” teguran yang membina dari anda semua. Menuju dan mencari Yang Sempurna..bukan berlagak sempurna. Kerana tiada yang lebih sempurna melainkan diri-Nya..wallahu a’lam.

No comments: