Friday 22 February 2013

Tunggu masa sesuai...

“Denyutan nadi awak tak normal..” Kata-kata Dr. Harliah masih tergiang-ngiang di fikiranku. Aku hanya tenang mendengarnya. Aku masih menunggu kata-katanya lagi. Maka aku hanya diam, tidak bertanya apa-apa.

Itu sebulan yang lalu..dan hari ini aku datang berjumpa doktor lagi. Hanya untuk mengetahui keputusan ujian darah yang telah aku buat. Ujian darah bagi pengesahan sakit jantung. Aku masih ingat lagi kata-kata Dr. Harliah yang seterusnya..

“Denyutan nadi awak ini menunjukkan tanda-tanda sakit jantung. Ini hanya tanda awal yang saya periksa sendiri. Awak tak perlu bimbang sangat. Awak perlu buat ujian darah untuk mengetahui sama ada ianya betul atau tidak. Awak boleh datang esok lagi untuk buat ujian tersebut. Bagaimana?” Dr. Harliah merenung ke arahku menunggu jawapan daripadaku.

“Saya setuju..” Aku mengangguk. Dalam hati aku berdoa agar perkara itu tidak benar. Aku sihat dan tiada penyakit seperti itu.

Aku menunggu di ruang yang telah disediakan di klinik kesihatan. Aku hanya memerhati pesakit-pesakit lain yang keluar masuk dari klinik. Sambil hatiku berdebar menunggu giliran. Dan tiba-tiba aku tersentak, nama aku dipanggil dan di suruh segera masuk ke bilik doktor. 

Sejurus kemudian aku keluar..aku ingin segera pulang ke rumah. Orang rumah tak tahu tujuan aku ke klinik sebenarnya. Kebiasaan hanya ingin mengambil ubat, itu yang semua orang fikir bila pergi ke klinik. Tapi aku..

Aku tidak jadi pulang ke rumah. Aku menunggang motosikal menuju ke pantai yang berdekatan. Aku mencari sudut yang sunyi dari orang lain. kedengaran ombak beralun lembut. Angin pula bertiup sederhana. Aku duduk menghadap pantai. Sambil duduk aku mengimbau kembali pertemuan aku dengan Dr. Harliah tadi.

“Saya harap awak ambil perhatian dengan apa yang ingin saya katakan nanti. Saya akan beritahu keputusan ujian darah yang dibuat sebelum ini. Untuk makluman awak, hanya satu sahaja yang telah siap diperiksa dan dibawa ke sini. Jadi, lain-lain keputusan masih dalam proses. Harap awak dapat bersabar.” Dr. Harliah bernada serius memberitahu aku. Namun riak wajahnya bersahaja, seolah-olah ingin menenangkan aku agar tidak risau  dengan keputusan yang bakal aku terima.

“Insya’Allah Dr…” Aku hanya mampu mengungkapkan itu. Padahal tangan aku kesejukan dengan tindak balas air-cond di dalam bilik doktor. Namun aku tak pasti sama ada aku dalam keadaan kesejukan dek air-cond ataupun nervous menunggu keputusan ujian darah tersebut.

“Daripada hasil pemeriksaan darah, keputusannya menunjukkan…ermm, saya rasa baik awak baca sendiri dulu. Mungkin awak akan berpuas hati. Nanti saya akan jelaskan pada awak pula. Nah, ini dia.” Dr. Harliah membuat saspen pula. Masa tu aku dah kaku. Aku mencapai kertas keputusan yang diberikan dan membukanya perlahan-lahan.

Cik……, .. hasil keputusan ujian darah: POSITIF.

Ya Allah, Kau berilah kekuatan kepadaku agar tenang menerima ujian ini. Sungguh, aku seorang yang lemah dan memohon dari-Mu. Hanya itu yang mampu aku bisikkan dalam hati aku. 

“Awak ok ke?” Dr. Harliah bertanya dengan kebimbangan di wajahnya.

“Saya ok doktor..ermm, apa yang perlu saya buat doktor?” Aku tahan airmata. Aku berlagak tenang di hadapan Dr. Harliah saat itu.

“Awak kena banyak bersabar. Tak perlu bimbang sangat. Masih ada dua lagi keputusan yang perlu diketahui. Awak kena banyak berehat. Tak boleh letih dan perlu cukup tidur. Yang paling penting, jaga cara pemakanan.” Aku mengangguk.

“Adakah sesak nafas mendorong sakit jantung juga? Saya tidak ada asma tetapi sering sesak nafas.” Terkadang aku diserang sesak nafas. Amat sukar sekali untuk ku hadapi saat itu. Maka aku bertanya untuk mendapat kepastian.

“Mungkin awak keletihan ataupun tak cukup tidur. Mungkin juga terlalu memikirkan sesuatu masalah. Tak semestinya berkaitan dengan sakit jantung. Saya akan bagi buku tentang masalah jantung. Awak boleh baca buku tu nanti. Dalam buku itu ada info mengenai permasalahan dan pencegahannya.” Dr. Harliah menghulurkan buku yang dibicarakannya. 

“Terima kasih doktor..erm, bila pula saya boleh tahu keputusan yang lain?”

“Saya akan telefon awak nanti..” Balas Dr. Harliah dengan senyuman.

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara:
1.     Sihatmu sebelum datang sakitmu.
2.     Lapangmu sebelum datang sibukmu.
3.     Masa mudamu sebelum datang masa tuamu.
4.     Waktu kayamu sebelum datang kemiskinanmu.
5.     Ketika hidupmu sebelum datang kematianmu .

Saat itu airmataku mengalir deras membasahi pipi. Aku tidak menghiraukan keadaan di sekeliling. Seolah-olah tiada ombak di pantai. Tiada angin yang bertiup. Hanya tangisan sepi yang mengasyikkan kedengaran. Di fikiran aku, terbayang wajah-wajah insan tersayang. Aku belum bersedia untuk mengkhabarkan berita ini. Tunggu masa sesuai…Ya Allah, bila memang Kau cuba, aku percaya Kau sayang padaku.

Aku meminta kepada Allah untuk menyingkirkan penderitaanku.  Allah menjawab, Tidak. Itu bukan untuk Ku singkirkan, tetapi agar kau mengalahkannya.

Aku meminta kepada Allah untuk menyempurnakan kecacatanku. Allah menjawab, Tidak. Jiwa adalah sempurna, badan hanyalah sementara.

Aku meminta kepada Allah untuk menghadiahkanku kesabaran. Allah menjawab, Tidak. Kesabaran adalah hasil dari kesulitan; itu tidak dihadiahkan, itu harus dipelajari.

Aku meminta kepada Allah untuk memberiku kebahagiaan. Allah menjawab, Tidak. Aku memberimu berkat. Kebahagiaan adalah tergantung padamu.

Aku meminta kepada Allah untuk menjauhkan penderitaan. Allah  menjawab, Tidak. Penderitaan menjauhkanmu dari perhatian duniawi dan membawamu mendekat padaKu.

Aku meminta kepada Allah untuk menumbuhkan rohku. Allah menjawab,  Tidak. Kau harus menumbuhkannya sendiri, tetapi Aku akan memangkas untuk membuatmu berbuah.

Aku meminta kepada Allah segala hal sehingga aku dapat menikmati  hidup. Allah menjawab, Tidak. Aku akan memberimu hidup, sehingga kau dapat menikmati segala hal.

Aku meminta kepada Allah membantuku mengasihi orang lain, seperti Ia mengasihiku. Allah menjawab.. ,akhirnya kau mengerti. HARI INI ADALAH MILIKMU, JANGAN SIA-SIAKAN . Bagi dunia kamu mungkin hanyalah  seseorang, Tetapi bagi seseorang kamu adalah dunianya.

Akanku sabar menanti keputusan yang lain. Aku harap saat itu, aku mampu menerimanya. Biarpun di usia muda..aku harus percaya, Allah sedang mengujiku. Tak kira muda atau tua..ujian hidup akan melanda. Tak kira sesiapapun..dalam bentuk apa sekalipun. Jika Allah menghendaki, pasti itu terjadi. Pasti ada hikmah yang tersembunyi..biarkan masa berlalu. Menangislah wahai diri andai tak mampu menahan airmata itu..tapi jangan kau sia-siakan waktu yang masih bersisa ini.

1 comment:

Shakirah said...

sedihnya baca ;'( semoga Allah memberi ketabahan kpdmu insyaAllah :)