Sunday 11 December 2011

Adik, kakak sayang kamu!

-->"Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada manusia"

 




“Dia pergi saat kami bergembira menerima orang baru dalam keluarga. Namun, kami reda kerana pemergiannya bukan setakat membantu seseorang, sebaliknya dua nyawa yang memerlukan organ yang didermakannya..”
Demikianlah luahan seorang kakak ketika mengimbas kembali tragis adik bongsunya pada 2000. Adiknya meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas terjatuh daripada kereta api ketika dalam perjalanan dari Wakaf Bharu, Kelantan menuju Kajang, Selangor. Dia yang baru sehari mendapat kad pengenalan, dalam perjalanan bersama ibunya untuk menziarahi kakaknya yang baru lepas bersalin.
“Adik saya dipercayai terjatuh ketika kereta api membelok tiga hingga lima kilometer sebelum sampai ke stesen Bangi. Ini disebabkan  semua beg pakaian dan barang ditemui berhampiran pintu tempat arwah dipercayai terjatuh..” kata seorang kakak sambil mengesatkan airmata yang keluar.
Sewaktu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), keadaan adiknya nazak dan akhirnya diisytiharkan mati otak dan hidupnya bergantung kepada mesin  ketika itu. Pada waktu itulah, keluarganya didekati Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional HKL, Datin Lela Yasmin Mansor.
“Berat mata memandang berat lagi bahu memikul..pada tahap pengetahuan dan pendedahan  kami yang cetek mengenai pendermaan organ ketika itu. Alhamdulillah, kami sekeluarga hanya mengambil masa 10 minit saja untuk memberi persetujuan mendermakan kedua-dua pinggang arwah..” kakak meneruskan ceritanya.
Airmata yang keluar mengalir laju. Kakak sebak teringat adik kesayangan. Terbayang di minda wajah adik.
“Memang kami tidak banyak ilmu atau arif mengenai pendermaan organ, tetapi mungkin kerana sifat semulajadi ayah dan ibu yang cukup menitikberatkan konsep sedekah, kami relakan (keputusan menyerahkan organ arwah).” Kakak menunduk sejenak.
“Pada masa yang sama, kami juga maklum dengan hadis sahih yang ada mengatakan sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada manusia, menjadi urusan pendermaan organ itu mudah dilaksanakan” bersungguh kakak menyambung cerita.
Malangnya, di sebalik kerelaan dan kemuliaan sikap yang dipamerkan, balasannya tidak seindah yang disangka. Keikhlasan mereka ‘dibalas’ sikap segelintir masyarakat, termasuk saudara- mara yang memandang serong perbuatan mereka. Kakak sedih namun kakak percaya bahawa Allah subhanallahu wa ta’ala itu Maha Adil. Apa yang lebih penting pandangan Allah subhanallahu wa ta’ala bukan pandangan manusia.
Kakak ambil yang positif, mungkin mentaliti masyarakat yang cetek mengenai pendermaan organ itu menyebabkan keluarganya dipulaukan selama beberapa tahun. Mereka tidak menyenangi tindakan kakak sekeluarga yang mendermakan organ arwah adiknya..



Tetapi, berpegang kepada kepercayaan konsep siapa yang mempermudahkan urusan orang lain pasti urusannya turut dipermudahkan Allah subhanallahu wa ta’ala, kakak sekeluarga meneruskan hasrat itu tanpa perlu melayan pandangan orang lain.

Kakak percaya Allah subhanallahu wa ta’ala mendengar doa hambaNya yang menderita dalam kesakitan. Kakak yakin pemergian arwah adiknya adalah takdir dan suratan Illahi. Ada hikmah di setiap perkara yang berlaku. Apa yang penting, pemergian arwah adiknya tidak sia-sia apabila kedua-dua pinggangnya sebaliknya ‘menghidupkan’ dua individu yang kini mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik.


Derma Organ - Pemindahan Jantung Dan Mata
Keputusan: 
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersdidang pada 23 - 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:
  1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
     
  2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.
     
  3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.
     
  4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan. 






Keterangan/Hujah: 
  1. Sumber yang menjadi asas hukum di atas ialah:
i.   Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi 
 " لا ضرر ولا ضرار "  yang bermaksud “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan tidak boleh memudharatkan orang lain”.
ii.  Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah 185 Surah al-Baqarah yang bermaksud “Allah berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak kepayahan”.

iii. Melakukan kemudharatan yang paling ringan di antara dua kemudharatan, sepertimana yang terkandung dalam kaedah Fiqh yang berbunyi " ارتكا ب أخف الضررين "  yang bermaksud " melakukan kemudharatan yang lebih ringan ".
 
  1. Hukum harus menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada berbagai-bagai syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i.   Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya seperti mati atau cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan untuk berjalan dan sebagainya.

ii.   Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan.

iii. Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang gila, atau orang yang dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau kekeliruan.

iv.  Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti melibatkan urusan jual beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata.

v.   Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup untuk membuat pertimbangan baik buruk ke atas penderma dan penerima berasaskan prinsip maslahah dan mafsadah sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam.

No comments: