Friday 5 August 2011

Kesempurnaan Diri Muslim




Daripada Saidina Khalid bin Walid r.a telah berkata, telah datang seorang arab desa kepada Rasulullah s.a.w yang mana dia telah menyatakan tujuannya, “Wahai Rasulullah!Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya padamu mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan di akhirat”. Maka baginda Rasulullah menjawab, “Tanyalah apa yang kamu kehendaki.

Arab desa : Aku mahu menjadi orang yang alim.
Baginda menjawab : Takutlah kepada Allah maka kamu akan menjadi alim.

Arab desa : Aku mahu menjadi orang yang paling kaya.
Baginda menjawab : Jadilah orang yang yakin pada diri maka kamu akan jadi orang yang paling kaya.

Arab desa : Aku mahu jadi orang yang paling adil.
Baginda menjawab : Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana kamu kasih pada diri sendiri maka jadilah kamu seadil-adil manusia.

Arab desa : Aku mahu menjadi orang yang paling baik.
Baginda menjawab : Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka kamu akan menjadi sebaik-baik manusia.

Arab desa : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi Allah.
Baginda menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya kamu akan menjadi orang yang istimewa di sisi Allah.

Arab desa : Aku mahu disempurnakan imanku.
Baginda menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya imanmu akan sempurna.

Arab desa : Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik).
Baginda menjawab : Beribadatlah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya dan jika kamu tidak merasa begini sekurang-kurangnya kamu yakin Dia tetap melihat kamu. Maka dengan cara ini kamu akan masuk dalam golongan muhsinin.

Arab desa : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat.
Baginda menjawab : Tunaikan segala kewajipan yang difardhukan, maka kamu akan termasuk dalam golongan mereka yang taat.

Arab desa : Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.
Baginda menjawab : Bersihkan dirimu daripada najis dosa nescaya kamu akan menemui Allah dalam keadaan suci daripada dosa.

Arab desa : Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.
Baginda menjawab : Jangan menzalimi seseorang maka kamu akan dihitung pada hari kiamat di bawah cahaya.

Arab desa : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari kiamat.
Baginda menjawab : Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain nescaya Allah akan mengasihanimu pada hari kiamat.

Arab desa : Aku mahu dihapuskan segala dosaku.
Baginda menjawab : Banyakkan beristighfar nescaya akan dihapuskan (dikurangkan) segala dosa.

Arab desa : Aku mahu jadi semulia-mulia manusia.
Baginda menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya kamu akan menjadi semulia-mulia manusia.

Arab desa : Aku mahu jadi segagah-gagah manusia.
Baginda menjawab : Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah nescaya akan menjadi segagah-gagah manusia.

Arab desa : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.
Baginda menjawab : Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu.

Arab desa : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh Allah dan Rasul-Nya.
Baginda menjawab : Cintailah segala apa yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, maka kamu termasuk dalam golongan yang dicintai seperti mereka.

Arab desa : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan Allah pada hari kiamat.
Baginda menjawab : Jangan marah (kawal) kepada orang lain nescaya kamu akan terselamat daripada kemurkaan Allah.

Arab desa : Aku mahu diterima segala permohonanku.
Baginda menjawab : Jauhilah makanan haram nescaya segala permohonanmu akan diterima Allah.

Arab desa : Aku mahu agar Allah menutup segala keaibanku pada hari kiamat.
Baginda menjawab : Tutuplah keburukan orang lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari kiamat.

Arab desa : Siapa yang terselamat dari dosa?
Baginda menjawab : Orang yang sentiasa mengalirkan air mata penyesalan, mereka akan tunduk pada kehendak-Nya, dan mereka yang ditimpa kesakitan (penyakit).

Arab desa : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Baginda menjawab : Flok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).

Arab desa : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?
Baginda menjawab : Buruk akhlak, dan sedikit ketaatan.

Arab desa : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?
Baginda menjawab : Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan silaturahim.

Arab desa : Apakah yang memadamkan api neraka pada hari kiamat?
Baginda menjawab : Sabar di dunia dengan bala dan musibah.

Telah berkata Imam Mustaghfirin, “Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat selain hadis ini”.

Wallahua’lam.


No comments: