Wednesday, 13 July 2011

WANITA DALAM KELAHIRAN ISLAM



Alhamdulillah dengan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T yang dengan rahmat-Nya, saya masih dapat meneruskan coretan untuk sedikit perkongsian bagi sesiapa yang mengikuti blog ini. Ia khususnya sebagai renungan sepintas lalu dan sebagai satu ilmu untuk semua. Saya ingin berkongsi cerita tentang WANITA dalam kelahiran ISLAM yang sememangnya banyak memberi sumbangan kepada kehidupan pada zaman Rasulullah s.a.w. Tak kiralah sama ada lelaki atau wanita, sama-samalah kita mencontohi mereka.

Sumbangan kaum Hawa dalam kelahiran Islam amatlah dihargai. Saidatina Khadijah umpamanya, bukan sahaja berjaya sebagai seorang isteri tetapi juga pendukung kuat kelahiran Islam. Keyakinan teguh beliau ke atas ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terbukti apabila beliau menjadi wanita pertama memeluk agama Islam. Ketika wahyu pertama diturunkan,Saidatina Khadijah telah mententeramkan jiwa Rasulullah s.a.w. Atas nasihatnya, baginda telah pergi menemui Waraqah Ibnu Nawfal (sepupu Saidatina Khadijah) dan telah meyakinkan Nabi Muhammad s.a.w bahawa Allah telah mengangkatnya menjadi Rasulullah untuk mengembangkan satu agama yang amat suci iaitu Islam. Saidatina Khadijah juga telah menyumbangkan seluruh harta bendanya semata-mata untuk perkembangan Islam.(Subhanallah).

Dari sudut sejarah Islam, Summayah adalah umat Islam pertama dikatakan mati syahid. Anakandanya Ammar Ibnu Yasir, juga telah mengikuti jejak langkahnya apabila gugur ketika berjuang bersama-sama Saidina Ali di dalam Perang Siffen (657 Masihi).

Wanita juga adalah contoh terbaik dalam meletakkan martabat agama Islam. Ummu Habibah Ramlah anak kepada Abu Sufian, yang terkenal sebagai sekutu Islam di awal perkembangan Islam adalah contoh yang terbaik. Beliau bersama suaminya merupakan rombongan umat Islam yang pertama berpindah ke Abysinia. Malangnya suami beliau telah menjadi murtad akibat terpengaruh dengan harta kekayaan dunia. Bersama anak perempuannya yang masih kecil beliau terus meninggalkan suaminya sepertimana yang telah dilakukan kepada ayahandanya.

Walaupun hidup keseorangan di dalam keadaan yang menyedihkan beliau tidak pernah mengeluh akan nasibnya. Beliau akhirnya telah menjadi isteri Nabi Muhammad s.a.w. Pada tahun 630 Masihi (8 Hijrah), Abu Sufiyan telah dibenarkan memasuki Madinah untuk melawatnya tetapi beliau telah melarang ayahandanya itu duduk di atas hamparan kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. Begitulah gambaran yang telah diberikan oleh beliau ke atas agama Islam lebih tinggi dari tali persaudaraan. Abu Sufian pada akhirnya telah memeluk agama Islam dan menjadi pejuang Islam yang kuat sehingga kehilangan kedua-dua belah matanya dalam peperangan menyebarkan agama Islam.

Begitulah ringkasan atau gambaran hidup wanita dalam kelahiran Islam yang dapat saya kongsikan buat renungan semua. Walaupun tidak banyak wanita yang dapat saya ceritakan lagi dalam cerita di atas, harap semua berpuas hati membacanya. InsyaAllah, akan saya berusaha membongkar lagi kisah tokoh-tokoh Islam yang lain pada masa-masa akan datang. Semoga saya dan anda semua dapat bersua  lagi bagi berkongsi ilmu semata-mata kerana-Nya.  Sesungguhnya , tokoh-tokoh Islam amatlah dihargai dalam kelahiran Islam supaya kita semua dapat mencontohi mereka. Syukran.




“ Ya Allah. Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari siksa-Mu dan murka-Mu dan kami tidak mengira pujian kepada-Mu, sepertimana Engkau memuji kepada-Mu sendiri. Maka segala puji bagi-Mu sehingga Engkau redha kepada kami.”

“ Wahai Tuhan kami, panjangkan umur kami dalam mentaati-Mu, dan mentaati Rasul-Mu serta jadikanlah kami daripada golongan hamba-hamba-Mu yang soleh atau solehah(baik).”

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...