Tuesday 25 February 2014

Petua Senang Hati


Selesai membaca ayat al-Quran dari surah al-Baqarah, dari ayat 6 hingga 10. Fiqriah menerangkan maksud ayat-ayat tersebut secara ringkas kepada ahli-ahli usrahnya. Kali ini giliran Fiqriah mengetuai usrah. Selain memperkenalkan Jannah dan Nadzirah sebagai ahli usrah baru. Fiqriah memberi sesuatu berupa sampul surat kepada setiap ahli usrah. Usrah ini terbuka kepada sesiapa yang ada kekosongan masa pada hujung minggu.

“Sesiapa yang  tidak dapat memperhatikan dan memahami ayat-ayat Al- Quran yang mereka dengar dan tidak dapat mengambil pelajaran dari tanda-tanda kebesaran Allah yang mereka lihat di cakerawala, di permukaan bumi dan pada diri mereka sendiri. Mereka itulah yang akan mendapat azab seksa daripada Allah. Semoga kita bukan dari kalangan mereka yang menerima azab tersebut,” terang Fiqriah sambil memerhati ahli-ahli usrah.

“Amen ya Rabbana alameen”. Semua ahli bersuara.

“Kak Fiqriah, saya ada soalan dari maksud ayat yang ke-10.. “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta”. Apakah penyakit yang dimaksudkan di sini?” Jannah bertanyakan soalan.

“Soalan yang bagus sekali, Jannah. Dalam ayat tersebut, maksud penyakit yang dinyatakan adalah keyakinan mereka terhadap kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah  lemah. Kelemahan keyakinan itu, menimbulkan kedengkian, iri hati dan dendam terhadap Nabi s.a.w., agama dan orang-orang Islam. Mereka ini adalah golongan kafir yang memusuhi Islam”. Bersungguh-sungguh Fiqriah menjawab soalan Jannah sambil melihat ke arah ahli yang lain.

Baiklah, saya faham sekarang. Sehingga hari ini, musuh-musuh Islam masih lagi berusaha untuk menghapuskan Islam dan penganutnya. Mereka ini mempunyai penyakit yang teruk sekali. Moga umat Islam sedar akan hal ini”. Hannah menambah.

“Justeru itu, menjadi tugas kita untuk menyeru dan menyebarkan dakwah Islam kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan muslihat mereka”. tiba giliran Hidayah.

“Bagaimana pula dengan golongan Islam yang memerangi Islam?” tanya Nadzirah.

“Perhatikan ayat 8 dari surah al-Baqarah, maksud ayat; di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman..” Fiqriah menjawab pertanyaan Nadzirah.

“Oh..mereka sebenarnya golongan yang munafik” Hidayah menambah.

“Betul tu..alhamdulillah, semua faham dengan maksud ayat-ayat yang baru kita baca tadi. Ada soalan lagi?”

Semua orang mengeleng.

“Secara ringkasnya, itulah muqaddimah usrah kita pada kali ini. Sama-samalah kita mengambil pengajarannya. Sesungguhnya, beruntunglah mereka yang benar-benar  beramal dengan kalamuLLAH yang mulia ini. Baiklah, untuk meneruskan pengisian berikutnya, saya harap semua telah pun bersedia dengan pengisian masing-masing”. Jelas Fiqriah sambil memberi senyum kepada setiap ahli.”

“Insya’Allah Fiqriah..kami semua sentiasa bersedia. [Ahli-ahli yang lain menggangguk setuju]. Apa topik usrah kita kali ni?” tiba  giliran Salimah bersuara setelah lama membisu.

“Buka sampul surat yang saya bagi tadi dan baca isi di dalamnya sekarang. Itulah topik usrah kita..” Jelas Fiqriah sambil memerhati reaksi setiap ahli usrahnya.

Masing-masing kusyuk membaca isi surat :

PETUA SENANG HATI

Latih hati sentiasa bersangka baik terutama dengan ALLAH.
=Latih hati sentiasa ingat, ALLAH memberi sentiasa pahala kepada kita setiap kali kita diumpat.   
=Latih hati sentiasa bergantung dengan ALLAH dan tidak mengharapkan manusia. 
 = Latih hati sentiasa bersyukur dengan nikmat dari ALLAH.
 =Latih hati sentiasa memaafkan kesilapan orang lain dan sentiasa memohon ampun dari ALLAH.

“Alhamdulillah, menarik sungguh tajuk nie kak!” Nadzirah memberi reaksi.

“Bagusnya kalau dapat istiqomah latih hati dengan cara nie.” Hidayah menambah.

“Insya’Allah, jika kita ikhlas dan yakin dengan Allah..setiap urusan akan dipermudahkan oleh-Nya.” Salimah menambah lagi.

“Saya nak tahu dengan lebih jelas lagi, boleh sahabat-sahabat sekalian menerangkan satu persatu mengenai petua senang hati kepada saya?” Jannah membuka bicaranya.

“Sudah tentu Jannah. Kita akan membicarakannya satu persatu agar semua dapat faham dengan lebih jelas lagi. Bermula dengan bersangka baik dengan Allah. Kita wajib beriman kepada Allah. Meletakkan sepenuhnya kepercayaan kita kepada-Nya. Apa-apa sahaja yang datang daripada Allah hendaklah kita percaya bahawa itu semua untuk kebaikan kita. Apabila kita ditimpa sesuatu musibah, hendaklah bersabar. Apabila kita diberi nikmat pula, hendaklah bersyukur. Allah Maha Adil, dan tidak akan membebankan sesuatu di luar kemampuan kita. Berpegang kuatlah kita kepada-Nya. Maka jadilah hamba yang sentiasa bersangka baik dengan Allah nescaya Allah tidak akan mensia-siakan kita.” Fiqriah mula menerangkan topik yang dibincangkan.

“Sebagai contoh, apabila kita berdoa dan doa itu masih belum termakbul, janganlah kita berputus asa untuk terus berdoa. Dalam masa yang sama, janganlah pula menyalahkan sesuatu yang menimpa kepada takdir dan ketentuan Allah. Teruslah berbaik sangka dengan Allah.” Fiqriah menambah lagi. Semua mengangguk.

“Betul tu kak..kadang-kadang kita mengeluh bila perkara buruk berlaku. Sepatutnya kita kawal emosi tu dengan baik.” Jannah menyampuk. Fiqriah senyum dan menggangguk.

            “Betul tu…yang kedua pula, siapa nak terangkan?” tanya Fiqriah.

          “Boleh saya kongsi untuk yang kedua?” Hannah mencelah sambil memandang ke arah semua.

            “Silakan Hannah” ujar Fiqriah.

Selepas membaca basmalah Hannah berbicara.

“Baiklah sahabat semua, jika dihayati maksud ayat-ayat daripada Surah Al-Humazah (pengumpat), ia menerangkan kepada kita tentang ancaman Allah terhadap orang-orang yang suka mencela orang lain, suka mengumpat dan mengaibkan orang lain. Golongan ini akan diazab oleh Allah dengan pedih sekali. Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan seseorang, ataupun kita merasakan seseorang itu mempunyai sikap buruk, janganlah kita menceritakan hal mengenainya kepada orang lain. Kesannya akan merosakkan hubungan sesama kita malah akan memburukkan lagi situasi. Sebaiknya, kita selesaikan dengan baik dan berhikmah.” jelas Hannah.

“Saya setuju..lagi pula, hal ini boleh merosakkan hati.” Nadzirah mencelah.

“Bagaimana kita nak menghindari perkara nie?” tanya Jannah.

“Firman Allah ta’ala dalam surah Qaaf ayat 18 yang bermaksud, tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. Kita hendaklah yakin bahawa setiap perbuatan kita dicatat oleh para malaikat yang ditugaskan oleh Allah. Kita tidak boleh lari dari pengawasan Allah.” jelas Hannah. Semua ahli mengangguk.

“Macam mana kalau dah mengumpat, bila sedar kesalahan..malu pula nak minta maaf? Tapi kita bertaubat tak nak buat lagi…” Salimah pula bertanya.

“Jangan takut dan malu untuk meminta maaf. Terpulang bagaimana seseorang itu mahu menerima atau tak kemaafan kita, buatlah dengan niat yang ikhlas. Insya’Allah, pasti  semuanya baik. Berdoalah pada Allah agar dilembutkan hatinya. Dalam masa yang sama, terus meminta ampun daripada Allah. Semoga Allah mengampuni dan memperbaiki diri kita. Baguslah kalau dah bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, yakinlah Dia sentiasa mendengarkan kita.” Salimah menggangguk faham dengan penjelasan Fiqriah.

“Saya rasa apa yang akak jelaskan tadi sudah meliputi ke semua topik yang kita sedang bincangkan sekarang. Betul tak?” Nadzirah bersuara.

“A’ah laa..” Jannah mengiakan. Ahli hanya tersenyum sambil mengangguk.

Fiqriah sangat gembira dan bersyukur kerana usrah pada hari itu berjalan dengan lancar. Semua ahli usrah memberi pengisian yang bermanfaat untuk dikongsikan bersama. Fiqriah teringat pada Mardhiah. Dia mengirim mesej bertanya khabar….tup..tup..!


No comments: