Friday, 18 October 2013

Ziarah Hati


Suatu petang, saya dan Farah melawat Ustazah Hidayah di rumahnya yang berdekatan dengan pantai. Suasana di rumah Ustazah hanya kedengaran ombak yang memukul pantai. Walaupun jaraknya jauh namun tetap kedengaran di telinga kami. Kami sangat rindu untuk  berjumpa Ustazah Hidayah, paling rapat dengan kami. Ustazah menyambut dengan gembira kedatangan kami dan menyediakan hidangan lazat buat kami pada petang itu. Sambil itu kami berbual.

“Ustazah, betulkah hati boleh menjadi sebab kepada penyesalan dan kepedihan hidup?”, tiba-tiba Farah bertanya kepada Ustazah Hidayah.

“Anak-anakku, perkara hati bukanlah merupakan persoalan yang remeh. Jika kita semua menaruh perhatian terhadap perbaikannya, maka kaum Muslimin akan menjadi lebih baik dengannya.”, ujar ustazah. Bukan jawapan ya ataupun tidak yang diberikannya.

“Muhasabah diri ke, ustazah?”, Farah berbicara lagi. Saya hanya diam, menunggu ustazah menyambung bicaranya. Saya tahu, ada sesuatu yang ingin ustazah jelaskan mengenai hati. Ustazah memandang saya dengan penuh makna.

“Kamu tahu kenapa pentingnya hati?”, ustazah bertanya kepada saya.

Padanya mulanya saya terkejut, seolah-olah tidak bersedia untuk memberi jawapan kepada soalan itu. Dan saya tertanya-tanya dalam hati, kenapa ustazah tujukan kepada saya. Soalan Farah pun belum dijawab lagi. Farah pula hanya tersenyum melihat wajah ‘blur’ saya. Saya tunduk malu. Saya tetap membisu.

“Perlu bagi kita untuk memahami pentingnya hati, sehingga masing-masing dari kita menempatkan hati kita tepat di hadapan kita dan bekerja siang dan malam untuk memperbaikinya. Jadi, selalulah ‘menziarahi’ hati kita.”, jelas ustazah lagi.

‘Menziarahi’ hati??. Otak saya ligat berfikir apa maksudnya.

“Sebab hati sentiasa diuji kan..boleh jadi ia baik atau buruk.” Tiba-tiba Farah mencelah.

“Betul tu Farah. Ustazah tahu, kamu berdua sudah banyak mempelajari sesuatu dalam hidup yang kebanyakannya berkaitan dengan hati. Tambahlah lagi air tu. Jangan segan-segan ya.” Waktu wajah kami jadi serius, tiba-tiba ustazah mempelawa air. Kami terlalu fokus hingga bertukar riak wajah. Mungkin ustazah perasan. Kami kembali senyum, lalu minum air yang disediakan.

Perbualan mengenai hati terhenti di situ. Masa berlalu terlalu pantas, ditambah hari sudah lewat petang. Kami berdua berangkat pulang dengan perasaan penuh gembira. Walaupun di fikiran saya masih mengingati kata-kata nasihat daripada ustazah sepanjang perjalanan pulang. Biarpun tidak berbual terlalu lama dek kecemburuan masa, saya dan Farah dapat hikmahnya.

“Sedikit bicara, jika berfaedah..pasti akan berguna selama-lamanya.” Itulah yang mampu saya simpulkan pada pertemuan yang singkat dengan ustazah hari itu. Soal ‘menziarah’ hati pula..terpulang kepada sesiapa nak menaksirnya..”Tepuk dada, tanya IMAN.




1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...