Wednesday, 17 April 2013

Diari Doa Muslim/Muslimah


Assalamualaikum semua..^_^
Alhamdulillah, bertemu lagi di ruangan sederhana ini. Semoga kita sentiasa dalam inayah-Nya. Semoga terus segar dalam beribadah kepada-Nya.

Ketika membaca buku “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” oleh Fathi Yakan, satu hadis Rasulullah s.a.w yang terkandung di dalamnya membuatkan saya tertarik dengan maksudnya; “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai Allah daripada mukmin yang lemah”, hadis riwayat Muslim.



Saya tertanya, apa yang menyebabkan mukmin itu kuat supaya Allah lebih suka? Mesti ada jawapannya, lalu terfikir mukmin ada senjata. Dan senjata bagi orang mukmin ialah DOA. " الدعاء سلاح المؤمن " .Mungkin salah satunya mukmin itu kuat ialah melalui doa.

Mukmin kuat yang bagaimana Allah maksudkan dalam hadis tersebut? Sudah tentulah mukmin yang berusaha mecari kekuatan dalam setiap aspek. Kekuatan itu nikmat yang berharga daripada Allah. Kekuatan yang merupakan slogan Islam dalam semua sistem dan perundangannya. Kekuatan inilah yang menjadikan mukmin itu kuat dari segi pelbagai aspek. Antaranya peperangan, ekonomi, ilmu dan banyak lagi. Dengan adanya kekuatan, kita mampu berdiri teguh. Kita juga boleh memperolehi kemenangan melaluinya. Bukan pula kekuatan itu disalah gunakan tetapi Allah menghadirkan kekuatan kepada kita supaya kita berfikir, merenung, menghayati akan segala bentuk kekuasaan-Nya. Supaya kita beribadah dengan sempurna kepada-Nya. Bagaimana kita nak memperolehi kekuatan jika kita tidak berusaha mendapatkannya daripada Allah?

Kekuatan dari DOA

Dalam buku itu lagi ada menyebut, kekuatan adalah simbol Islam sehingga dalam doa yang dipanjatkan kepada Allah menjadi sebahagian daripada petanda-petanda khusyuk dan ketenangan. Subhanallah! Itulah pentingnya kekuatan. Lihatlah, nak mendapatkan kekuatan ada caranya iaitu melalui DOA. Melalui doa nikmat diturunkan, melalui doa juga murka dihindarkan. Betapa perlunya kita berdoa kepada-Nya untuk memperolehi apa yang dihajati dalam setiap situasi atau keadaan. Kita tidak akan pernah lepas dari keperluan doa. Doa adalah ubat yang paling mujarab, ia ibarat musuh bagi penyakit, ia senantiasa melawan, menghilangkan atau meringankannya.

Doa sebagai IBADAH

Doa memiliki keutamaan dan faedah yang tak terhitung, kedudukannya sebagai satu bentuk ibadah cukup menjadi bukti keutamaannya, bahkan ia adalah ibadah itu sendiri, sebagaimana sabda Rasulullah saw, “Doa adalah ibadah.” (HR: Tirmizi, disahihkan Al-Albani). Meninggalkan doa adalah bentuk menyombongkan diri dari menyembah Allah SWT, sebagaimana Allah SWT berfirman: “Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina." [Ghafir (al-Mukmin): 60]

Bagaimana doa direalisasikan dalam hidup kita?

Dalam kehidupan seharian, kita berhadapan dengan pelbagai bentuk keadaan, sama ada gembira, sedih, takut, dan sebagainya. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang hamba melainkan ALLAH? Dengan meletakkan Dia selalu di hati kita. Jadikan Dia sebagai kekasih kita. Dialah peneman setia dalam hidup kita. Dialah segala-galanya bagi kita. Justeru, senang dan susah, Dia bersama kita. Maka, dengan berdoa akan membuatkan kita bertambah dekat dengan-Nya. Kita boleh merealisasikan doa dalam hidup kita dengar teratur iaitu melalui DIARI DOA MUSLIM/MUSLIMAH. Ianya mudah dan  berguna kepada kita. Setiap masa kita perlukan doa, setiap saat itulah kita ingat pada Allah. Lihatlah gambaran bentuk diari pada gambar di bawah:


Doa sebelum/selepas makan -> Doa selepas solat fardhu -> Doa mendengar guruh -> Doa ketika hujan turun ->banyak lagi...

Secara automatiknya, kita sendiri telah melakukan diari doa tersebut dengan mengingati setiap doa bagi setiap perbuatan yang kita lakukan seharian. Hebatnya diari doa yang diajarkan oleh Islam kepada kita. Indahnya Islam mengatur cara hidup kita. Indahnya cara Islam mengajar kita untuk mengingati Allah. Apatah lagi jika kita mengamalkan doa-doa yang ada secara istiqomah dan penuh keyakinan. Biasanya cara menghafal doa dalam kalangan kita berbeza. Ada yang menghafal dalam bahasa Arab sahaja, ada yang dalam bahasa Melayu sahaja, malah ada kedua-duanya sekali. Yang lebih mudah faham adalah kedua-dua sekali. Digalakkan mempelajari bahasa Arab untuk lebih jelas lagi. Apa yang penting, doa yang dihafal, dapat diamal secara istiqomah.

Kalau kita catat satu persatu doa yang dah kita belajar dan ketahui sama ada dari al-Quran atau hadis, memang terlalu banyak. Terkadang kita lupa, tetapi bila kita terjumpa balik, kita memang akan terasa bahawa kita memang dah pernah baca dan hafal doa tersebut. Untuk mengelakkan berlakunya seperti itu, ada yang berusaha membuat diari doa. Malah, ada yang hanya membeli buku doa dan merujuk buku tersebut bila perlu. Bagi saya, lebih kreatif dan puas hati bila kita buat dalam bentuk diari doa untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian. Ataupun beli buku doa, kemudian pilih doa yang sesuai digunakan dalam seharian dan buat diari doa. Terpulanglah. ^_^

Ada banyak cara untuk mudah menghafal, mengingati dan mengamalkan doa dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, menulis dan menampal ia ke tempat yang sesuai dibaca. Ramai yang dah guna cara ini. Apa yang dibimbangi juga, ada yang salah faham tentang doa yang dibuat dalam bingkai gambar. Niatnya hanya untuk perhiasan semata-mata. Ia jauh dari maksud sebenar akan setiap bait-bait doa yang ditulis. Apatah lagi untuk mengamalkannya. Semoga kita terpelihara oleh Allah dari semua yang negatif itu.

Sumber rujukan doa ialah dari Al-Quran dan Hadis, mudahnya untuk mendapatkan doa kerana ia disusun dalam bentuk satu buku. Sekarang ini ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk untuk memudahkan sesiapa yang menggunakannya. Malah boleh dibawa bersama, sesuai dengan keadaan dan tempat. 

Buku Doa & Zikir Harian
– Ust.Zahazan Mohamed

Buku Keajaiban DOA Pembuka Rezeki(Untuk Wanita)
 – Aini Samsudin


KAMUS ZIKIR & DOA - SHOHIH ALHASAN, LC


Semoga pengisian ini bermanfaat kepada semua yang membacanya. Mohon maaf seandainya terdapat salah dan silap, harap dapat tegur saya. Hakikatnya,  bicara tentang doa memang takkan habis. Banyak lagi pengisiannya. In sha Allah, sama-sama berkongsi untuk manfaat bersama. Wallahu a’lam.

BERSAMA
MELAMAR REDHA-NYA


5 comments:

  1. Assalamualaikum,
    ukhti...saya sangat bersetuju dgn pndpt anti...doa yang paling mahal adalah hidayah...kerana hidayah itu milik ALLAH S.W.T.... kita beruntung di lahirkan dalam keluarga yang beragama Islam..."hidayah itu bukan milik sesiapa, seandainya Dia mahu menarik hidayah-Nya dari kita...bagaimana?" inilah kata-kata seorang sahabat yang membuatkan ana terfikir...sungguh meskipun kita mengucap dua kalimah syahadah...namun hanya hidayah dari-Nya yang mampu meneguhkan keimanan kita agar tidak tersasar jauh....

    ReplyDelete
  2. Wa alaikummussalam ukhti..Alhamdulillah..nikmat doa buat kita. Sungguh, nk dptkn hidayah tu kena usaha kan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul sangat-sangat ya ukhti...jika tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya...begitulah setiap apa yang kita lakukan perlulah bersungguh-sungguh barulah menampakkan hasil yang kita mahukan...Begitu juga bila berdoa perbersungguh-sungguh...insyaALLAH kita akan dapat yang elok untuk kita,kerana tak semua yang kita minta elok untuk kita...kerana perancangan ALLAH S.W.T. sangat teliti..antara cepat dan lambat sahaja doa kita dimakbulkan...

      Delete
    2. ralat: begitu juga bila berdoa perlu bersungguh-sungguh

      Delete
    3. Yup..tiada guna jika kita memiliki banyak buku2 doa tetapi kita tdk beramal dengannya..kalaupun kita tidak mampu utk mengingati semua doa2 yg ada..sedikit tetapi berterusan..^_^..bersungguh2 la kita..insha Allah.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...