Sunday 4 September 2011

Masih Ada Yang Sayang



Pagi itu kelihatan wajah Ustazah Nafisah berseri-seri. Pakaian kemas. Dia menuju ke kelas 2 Dedikasi dengan langkah teratur dan yakin. Setelah masuk kelas beliau ucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”, sambil memandang ke arah pelajar dengan tersenyum. “Waalaikumussalam warahmatullah”, gemuruh suara pelajar menjawab salam ustazah yang mereka sayangi itu. Apa khabar semua? Khabar baik ustazah.

Ustazah Nafisah:
Pelajar, minggu lalu kita telah mengadakan kempen “Masih ada yang sayang”. Tentu kamu masih ingat tujuan kempen itu diadakan.

Farida:
Saya ingat Ustazah. Tujuannya ialah untuk menyedarkan kita bahawa terdapat pelajar di sekolah yang kurang bernasib baik, seperti pelajar yang kematian ayah, ibu dan sebagainya. Kita hendaklah menyayangi mereka seperti kita menyayangi diri sendiri.

Ustazah Nafisah:
Tepat jawapan kamu Farida. Saya bersyukur kerana dalam pertandingan bercerita sempena kempen tersebut, kawan kamu Salihah telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan bercerita. Saya ucapkan tahniah untuk Salihah dan kamu semua.

Nadia:
Ustazah, saya cadangkan Salihah bercerita sekali lagi untuk kita semua. Bagaimana kawan2? Setuju atau tidak?

Kelas:
Setuju…..

Ustazah Nafisah:
Nadia, bagus juga cadangan kamu. Saya juga bersetuju. Oleh itu saya persilakan Salihah ke hadapan untuk menyampaikan ceritanya.

Salihah:
Ustazah Nafisah dan kawan2 yang disayangi sekalian, assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh. Tajuk cerita saya ialah “Pertemuan di pagi Syawal”. Pada suatu pagi Syawal yang mulia, selepas menunaikan solat hari raya, Rasulullah s.a.w tidak terus balik ke rumah. Rasulullah sangat gembira pada pagi itu, begitu juga umat Islam yang lain. Dalam perjalanan pulang ke rumah, baginda terpandang seorang budak sedang menangis hiba. Pakaian kotor dan compang-camping. Rambutnya kusut dan tidak terurus. Rasulullah s.a.w terus menghampirinya sambil bertanya, “Mengapa kamu menangis? Tidakkah kamu melihat semua orang bergembira?” Budak itu tidak berkata sepatah pun, hanya airmatanya semakin deras mengalir di pipinya yang cengkung itu. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, “Mana ayah dan ibu kamu?”, “Ayah dan ibu saya telah meninggal dunia, tiada siapa lagi yang mempedulikan saya dan tiada siapa yang menyayangi saya lagi. Semua orang bergembira, tapi saya….”, sahutnya dalam keadaan tersedu-sedan. “Sudikah kamu menjadikan Muhammad sebagai ayah, Aisyah sebagai ibu dan Fatimah sebagai kakak kamu?”. Pujuk Rasulullah s.a.w sambil mengusap kepala anak itu. Sejurus kemudian budak itu menganggukkan kepalanya. Dia menatap wajah Rasulullah s.a.w. Di wajahnya terukir senyuman kegembiraan. Sekianlah cerita saya, mudah-mudahan kita dapat mencontohi sifat kasih sayang Rasulullah s.a.w.

Ustazah Nafisah:
Terima kasih Salihah, Allah s.w.t Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya. Oleh itu, kita hendaklah saling berkasih sayang di antara satu sama lain berpandukan ajaran Islam. Kasih sayang dapat mewujudkan perpaduan dan kesejahteraan. Sebaliknya sikap benci-membenci membawa kepada permusuhan dan kehancuran.

Rahimah:
Ustazah, adakah makhluk lain seperti haiwan dan tanam-tanaman mesti kita sayangi juga?

Ustazah Nafisah:
Sudah tentu, kerana seluruh alam ini dijadikan Allah  s.w.t untuk manusia. Itulah sebabnya kita harus menyayanginya. Pelajar! Tahukah kamu maksud kasih sayang? Kasih sayang adalah perasaan cinta yang mendalam dan berkekalan, lahir dari keikhlasan serta dari kerelaan hati, berteraskan ajaran Islam.

Nurul Huda:
Ustazah, apakah akibatnya kalau kita memutuskan kasih sayang seperti bergaduh atau tidak mahu bertegur sapa?


Ustazah Nafisah:
Bagus soalan kamu Nurul Huda. Allah murka kepada orang yang memutuskan kasih sayang. Mereka itu akan dimasukkan ke dalam neraka. Jika mahu disayangi Allah, kita hendaklah menyayangi semua yang ada di sekitar kita. Rasulullah s.a.w bersabda  yang bermaksud, “Orang yang belas kasihan akan disayangi Allah. Firmannya: Kasihlah sesiapa yang ada di muka bumi, nescaya kamu akan disayangi penghuni di langit”. Riwayat Imam Ahmad.

Maisarah:
Bolehkah Ustazah terangkan siapakah lagi yang patut kita sayangi? Bagaimanakah cara kita melakukannya?

Ustazah Nafisah:
Boleh, bahagian kasih sayang ada lima. Yang pertama, kepada Allah dan Rasul iaitu mentaati perintah dan meninggalkan larangannya. Kedua, kepada diri dan keluarga iaitu melakukan perkara2 yang berfaedah, menjauhi yang memudaratkan diri dan keluarga. Ketiga, kepada sesama manusia iaitu tolong-menolong, saling-menasihati, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Keempat, kepada alam sekitar iaitu memelihara dan menggunakan alam dengan baik. Dan kelima, kepada makhluk2 lain iaitu tidak menzalimi makhluk lain seperti haiwan.

Syeera:
Ustazah, apakah hikmah jika kita berkasih sayang?

Ustazah Nafisah:
Banyak hikmahnya. Ia boleh mewujudkan sifat tolong-menolong sesama manusia, bertimbang rasa, perihatin dan belas kasihan serta mengukuhkan silaturahim. Di samping itu, kasih sayang boleh menghapuskan sifat hasad dengki dan permusuhan.  Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dari Nukman bin Basir r.a meriwayatkan, bersabda Rasulullah s.a.w: Bandingan orang mukmin saling cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan berhubung mesra seperti satu tubuh badan, jika salah satu anggota berasa sakit, maka seluruh badan sama2 menanggung derita dan berjaga malam”. Riwayat Bukhari.
Pelajar, ustazah berharap kamu telah memahami maksud kasih sayang dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan. Kasih sayang melahirkan sifat tolong-menolong dan membentuk perpaduan yang kukuh seperti tubuh badan.

Kelas:
InsyaAllah ustazah..terima kasih.



“Ya Allah, aku memohon kasih sayangMu dan kasih sayang orang yang mengasihiMu dan amalan yang membolehkan aku menerima kasih sayangMu.”


p/s: Cinta & kasih sayang adalah nikmat yang berharga dari Allah. Cintailah sesama kita kerana Allah Ta'ala. Peringatan buat diriku yang lupa..jua buat sahabat yang dikasihi.Waallahua'lam.

Buat sahabat semua..uhibbukum jiddan!!




No comments: