Sunday 26 August 2012

DETIK – DETIK TERINDAH


Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk mendapat nikmat – nikmat ini, padahal kami tidak sekali – kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami dengan taufiq-Nya. [Al-A’raaf; 43]

Assalamualaikum warahmatullahi  wabarokatuh..

Syukur pada Allah tak terhingga kerana dengan perhatian-Nya, kami dapat berkumpul semula dalam Majlis Aidilfitri, Ramah Mesra (REUNION 2012). Setelah merancang, akhirnya terlaksana jua. Dengan kerjasama sahabat-sahabat dari Batch SPM 2008 & STAM 2009, Meheliah dapatlah menjayakan majlis tersebut. Akhirnya, tarikh 24 Ogos 2012 bersamaan 6 Syawal 1433 pada hari jumaat bertempat di Pantai Sri 7 dan SMU (A) Meheliah Geting menjadi pilihan kami.  



Alhamdulillah, saya sendiri terluang untuk menulis coretan ini kali ini setelah lama membisu. Banyak kali merancang untuk menulis, namun tidak ada masa yang sesuai untuk ‘online’. Namun begitu, di sebalik kepayahan ada kesenangan. Firman Allah; “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”, surah Insyiraah; ayat 5. Dan dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa ketika turun ayat ini, (Rasulullah SAW. bersabda: "Bergembiralah kalian kerana akan datang kemudahan bagi kalian. Kesusahan tidak akan mengalahkan dua kemudahan." (Diriwayatkan oleh Ibnu jarir yang bersumber dari al-Hasan.).  

Begitulah jua keadaan kami dalam merancang dan berusaha untuk mentautkan hati masing-masing dalam mencintai Allah sebagai matlamat utama. Niat yang baik adalah penting dalam setiap tindakan. Istimewanya majlis nie, kami dapat berjumpa dengan guru-guru yang pernah membanting tulang, menabur jasa dalam mendidik kami suatu ketika dahulu. Sehingga kini, mereka tidak jemu mendidik kami. Sungguh, tak terbalas jasa mereka terhadap kami. Selama 4 tahun kami meninggalkan tempat yang berjasa ini, SMU Arab Meheliah Geting. Selama itu juga kami tidak berjumpa para guru sehingga ada kalangan mereka yang bertukar ke tempat lain. Di kesempatan inilah kami dapat berjumpa dan bertanya khabar. Melihat senyuman mereka ketika bersalaman, terasa cukup bahagia. Terharu.Dan sungguh, kenangan kali ini menjadi kenangan  terindah di hati. 

xde gambar nasik..hehe..

Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjayakan majlis ini. Dalam karangan Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam ada membicarakan tentang hak-hak ukhuwah Islamiyyah. Ukhuwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

Di sudut kejiwaan pula, ukhuwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

Maha Suci Allah yang menjadikan ikatan kami semakin erat. Ya Allah, kami mengambil setiap apa  kebaikan dan menolak setiap apa keburukan yang menjadi fitnah dalam kalangan kami. Saya bersyukur kerana sentiasa dikurniakan sahabat-sahabat yang baik. Syabas kepada sahabat-sahabat yang mengenali diri ini!!Sedar umur kian meningkat, semakin matang semua. Ada yang dah berkahwin (dapat anak pun), sedang menunggu..mungkin jua sedang merancang..^_^. Pertemuan kali nie, memperlihatkan karenah masing-masing yang cukup mencuit hati. Nikmat dan rahmat Allah sentiasa mengiringi kerana masing-masing semakin ‘sihat’..hehee. Ikatan mahabbah ini diiringi dengan doa rabitah..taqobbalallahu minna wa minkum.

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati (orang-orang yang dibayangkan) ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu lagi memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan mawaddah antara mereka. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini akan jalan yang sebenar  serta penuhkanlah piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati sanubari ini dengan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah doa kami".

Sedikit Perkongsian

Teringat motivasi pagi dalam rancangan Tanyalah Ustaz di TV9, waktu itu Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sebagai pemberi motivasi. Tajuk yang dibicarakan sangat menarik iaitu ‘SEMARAKKAN CINTA’, cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Sungguh, cinta kepada Allah dan Rasul-Nya menjadi keutamaan dalam hidup. Bagaimana nasib manusia yang tidak meletakkan Allah sebagai cinta pertama?Bagaimana keadaan manusia yang kurang  mencintai Rasulullah? Sekadar lafaz di bibir masih tidak cukup. Banyak pengisian yang ustaz bicarakan tentang cinta. Antaranya balasan kepada mereka yang meletakkan cinta secara berlebihan sesama manusia. Mereka semakin jauh dari Allah dan akan menderita kerana cinta itu. Tambah ustaz lagi, kita perlu menjadikan Allah sebagai tujuan dan Rasulullah sebagai jalan. Bahawa barangsiapa yang mentaati Rasulullah serta mentauhidkan Allah, tidak boleh mencintai orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka itu keluarga terdekat. Allah berfirman;

Kamu tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Dan dimasukkan-Nya mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka, dan merekapun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah golongan Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan Allah itu adalah golongan yang beruntung.[Al-Mujadilah;22]

Cinta pertama kita ialah Allah ta’ala. Bila kita mencintai Allah dengan segenap jiwa, Allah akan mengurniakan rasa cinta-Nya terhadap kita. Dengan rasa cinta-Nya itu juga, kita dianugerahkan perasaan mencintai dan dicintai sesama manusia. Lahirlah cinta terhadap persaudaraan. Mengukuhkan lagi ikatan iman apabila mencintai dan dicintai kerana Allah semata. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:



"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Ini pula ucapan dari sahabat2 sebagai wakil Batch SPM 2008 & STAM 2009 untuk semua sahabat yang menjayakan majlis tersebut;

“Assalam wbt, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menjayakan majilis Ramah Mesra, Jamuan Hari Raya  dan Temu Mata sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Alhamdulillah, sangat baik sekali, meriah. Moga ukhuwah yang terbina akan sentiasa kekal, bagi yang tak dapat join, tidak mengapa. Nanti akan datang akan ada lagi pengisian yang lebih menarik dan istimewa. Bagi yang akan pulang ke tempat kerja atau tempat pengajian, berhati-hatilah di jalan raya. Bagi yang di kampung, berkhidmatlah sebaik mungkin. Insya’Allah..umur panjang kita jumpa lagi. Kiriman salam dari para guru. Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin, maaf jika ada terkurang dan tercacat. Kami cuba yang terbaik, mohon ampun dari teman-teman, taqabbalallahu minkum. Sekian wassalam ^^”. [Pengarah Batch SPM 2008 & STAM 2009]

“Salam alaik. Alhamdulillah 3x. Segala puji bagi Allah yang telah permudahkan urusan kita hari ni (24/08/2012). Walaupun letih tapi sangat suka(puas hati)! Temu mata, bual2,makey sekali, duk ngila2(gelak ketawa bersama), layan para guru, dan banyok lagi yang meninggalkan kenangan manis buat kita semua. Terima kasih sangat2 atas kerjasama, taa’wwun, siap makanan & tempat sebelum, semasa, dan selepas jamuan. Moga Allah terima hasil kerja kita, korban masa, tenaga, duit semata2 nak perapat sesama kita. Harap2 ukhuwah kita akan lebih kuat terjalin dan boleh teruskan pada masa akan datang. Lepas ni, kalau jumpa senyum lebar la sikit deh..hehe. jangan jeling plok! Sape2 hok ado plan menarik tuk program kita lepas ni boleh la oyak deh! Ukhuwah fillah minni..^_^”. [Timbalan Pengarah Batch SPM 2008 & STAM 2009]

Akhir kalam, coretan saya bukanlah bertujuan melahirkan rasa riak, dengki, atau mengaibkan mana-mana pihak. Ini adalah luahan hati saya dan sekiranya ada yang terasa, saya memohon maaf. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Syawal dan Selamat Hari Raya Maaf Zahin & Batin. Selamat menunaikan ibadah Puasa Enam Syawal selagi mampu dan berkesempatan..Wasalam.



~PAKAT CAGHO PUOK KITO~

No comments: