Monday 24 October 2011

.::Wanita & Kupu-kupu::.



Kasihan kupu-kupu, badannya cantik dan mempersonakan tetapi kalau ditambah *malam* ia bermaksud lain. Hakikatnya, kupu-kupu bukan semuanya keluar malam, sebilangan sahaja yang gemar *berpeleseran* pada waktu hitam pekat, itupun kerana terpedaya oleh lampu di pinggir jalan.

Kupu-kupu tetap cantik, indah dan menawan. Sebilangan besar kupu-kupu terbang pada waktu siang hinggap pada bunga-bungaan, menghirup manisan yang tersembunyi di tengah-tengah. Kemudian kupu-kupu terbang lagi dan hinggap di dedaun segar. Siapapun pasti melirik apabila terperasankan kelibat kupu-kupu, hati siapa pun ingin memiliki keindahan, kecantikan dan keunikkannya di hujung jari. Tetapi sayap kupu-kupu mudah berderai, dan apabila ianya sudah berderai, tiada siapapun yang akan menginginkannya lagi. Kupu-kupu pun terbiar…

Wanita & kupu-kupu ada persamaan..

Wahai wanita & kupu-kupu, anda tamsilan kepada keindahan..

Wahai wanita & kupu-kupu, anda juga tamsilan kepada kerosakan dan kemusnahan…

Demikian wanita dijadikan tuhan untuk menghiasai bumi ini sebagaimana kupu-kupu dijadikan tuhan untuk menghiasi bunga-bungaan. 

Tanpa wanita, dunia ini terasa sempit dan tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam AS pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di syurga. Lalu baginda memohon kepada tuhan agar dijadikan seorang teman, agar boleh dia berbicara bersenda gurau dan membina sakhsiahnya. Maka terciptalah Siti Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam AS dan segala kenikmatan syurga di sekelilingnya terasa wujud.

Ternyata wanita cukup perlu dalam kehidupan lelaki sebagaimana bunga amat perlu kepada suntingan kupu-kupu untuk merealisasikan  proses pendebungaan.

 Tanpa permaisuri siapalah lelaki yang bergelar raja, 

tanpa isteri siapalah lelaki bergelar suami, 

tanpa wanita siapalah pria yang mahu digelar pemimpin dan 

tanpa perempuan siapalah maskulin yang konon mahu digelar ayah? 

Tanpa Siti Khadijah barangkali Rasulullah s.a.w tidak mendapat dorongan yang amat diperlukannya untuk terus bangkit, berpegang teguh kepada keyakinannya dan menyebarkan Islam sebagaimana semestinya. 


Tanpa Aisyah, barangkali banyak hadis Rasulullah s.a.w tidak sampai kepada umat Islam seluruhnya. 

Tanpa Fatimah Az-Zahra, barangkali Saidina Ali tidak muncul sebagai menantu Rasulullah s.a.w yang amat disayangi. 

Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa AS tidak terbela hingga menjadi penentang kepada suaminya yang amat kufur dan mengaku tuhan. 

Tanpa Masyitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan matanya. 

Dan tanpa wanita, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut  seorang perempuan.

Namun seorang wanita yang menjadi isteri kepada Nabi Nuh AS telah bertukar menjadi seorang penentang kebenaran, seorang wanita di zaman permulaan Islam sanggup melapah dada Saidina Hamzah dan sanggup mengunyah hatinya, seorang wanita tergamak meletakkan najis unta kepada Rasulullah s.a.w dan dalam sejarah manusia sejagat ramai wanita menjadi pendorong kepada kekufuran, kehancuran, kemaksiatan dan kemusnahan lelaki. 

Alangkah besar dan pentingnya peranan wanita dalam kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan pentingnya peranan kupu-kupu dalam menambah biakan bunga-bungaan dan menambahkan keindahan bumi ini. 

Tetapi alangkah hebat dan besarnya peranan wanita dalam merosakkan kehidupan lelaki, sebagaimana besar dan hebatnya kupu-kupu merosakkan dirinya sendiri dengan menerjah api. 

Jadi, renungkanlah akan diri kita sebagai seorang muslimah sejati, adakah kita menghendakkan diri kita kepada jalan kebaikan ataupun sebaliknya‼‼

Dan lelaki pula,sanggupkah kalian melihat wanita yang selayaknya dihormati,dikasihi musnah seandainya benar kalian tulus mencintai wanita itu kerana Allah s.w.t.

[Jom Muhasabah diri]


"Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah Kami ke Dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari Segala Yang lain Mengasihani".

1 comment:

Fann said...

saya suka ^_^