Friday 9 November 2012

Mensyukuri Nikmat Bertambah Rahmat


Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang dan ruang untuk menulis di ruangan sederhana ini. Selagi bernafas..ku takkan berhenti. Teringat kata-kata dari pakar motivasi, Prof. Muhaya Muhammad, “Orang yang benar-benar bahagia ialah orang yang bahagia melihat orang lain bahagia”. Suka dengar kata-kata ini, membakar semangat untuk terus berjuang mencari ilmu dan berkongsi ilmu. Bila saling berkongsi, sama-sama dapat manfaat. Bila dapat manfaat, sama-sama bahagia.Bersyukurlah…nikmat berkat, bertambah nikmat.

Allah ta’ala mengurniakan nikmat yang sangat banyak kepada manusia. Nikmat-nikmat tersebut ada yang dibawa sejak lahir, seperti penglihatan, pendengaran, pertuturan dan ada pula yang dikurniakan setelah kita dilahirkan seperti zuriat, pangkat, kesihatan dan kekayaan. Kita wajib bersyukur kepada Allah dengan kesucian akidah serta melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah ta’ala yang bermaksud:

“..dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu benar-benar hamba-Nya”. Surah Al-Nahlu;114

Apa itu SYUKUR?

Bersyukur ialah perasaan, ucapan dan perlakuan yang dilahirkan dengan ikhlas terhadap segala nikmat kurniaan Allah.

Kita perhatikan cara Rasulullah s.a.w melahirkan kesyukurannya kepada Allah ta’ala. Pada suatu malam Rasulullah s.a.w bangun dari tidur, lalu berwudhuk dan terus mengerjakan solat. Ketika menunaikan solat, kelihatan airmatanya menitis dan membasahi pipinya. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangan berdoa kepada Allah. Begitulah keadaan baginda sehinggalah masuk waktu subuh. Keesokan hari Saiyidatina Aisyah r.a bertanya, “Mengapa Rasulullah s.a.w menangis, sedangkan Allah telah memberi jaminan akan mengampuni dosa-dosa baginda yang lalu dan akan datang?”. Baginda menjawab, “Apakah tidak boleh aku menjadi hamba yang bersyukur?”.

Kisah di atas menggambarkan betapa tinggi tahap kesyukuran Rasulullah s.a.w. walaupun baginda telah dijamin masuk syurga tetapi tetap beramal ibadat melebihi orang lain. Oleh itu, sebagai manusia biasa kita hendaklah bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat-Nya dengan meningkatkan lagi amal ibadat untuk kepentingan hidup di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirat. Firman Allah ta’ala yang bermaksud:

“..sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan, nabi s.a.w bersabda: Seseorang itu tidak diangkat bersyukur kepada Allah sekiranya dia tidak berterima kasih kepada manusia.

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelas sekali bahawa sifat bersyukur lahir daripada jiwa yang suci. Orang yang suci jiwanya, sentiasa mengingati Allah setiap kali menerima nikmat. Mereka yang tidak beroleh nikmat setelah bertungkus-lumus mengusahakannya, tidak seharusnya berputus asa. Keimanan mereka kepada Allah benar-benar mantap. Mereka sedar segala-galanya tertakluk di bawah kekuasaan Allah. Bagi yang menuntut ilmu,  hendaklah mensyukuri ilmu pengetahuan dengan mengamal dan mengajarkannya kepada orang lain.

Bagaimana cara bersyukur?

1*  Bersyukur dengan HATI: Ingat Allah, yakin dengan pertolongan-Nya. Berfikir tentang ciptaan-Nya serta ikhlas dan jujur beribadat.

2.* Bersyukur dengan LIDAH: Membaca al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar, bertasbih, bertahmid, berkata yang baik dan saling menasihati.

3.* Bersyukur dengan PERBUATAN: Rajin bekerja, menepati masa, membantu ibubapa, rukuk serta sujud menyembah Allah, membuat suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Mensyukuri nikmat Allah tidak memadai dengan ucapan sahaja. Kita juga wajib bersyukur melalui hati dan perbuatan. Dalam usaha kita mendidik jiwa agar bersyukur, memerlukan dua unsur terpenting iaitu IMAN dan ILMU. Iman adalah dasar dalam menentukan sesuatu yang hak dan batil. Ilmu pula dapat memantapkan iman untuk menghargai nikmat kurnia Allah. Kedua-dua unsur tersebut, membolehkan seseorang menjadi hamba yang memiliki jiwa yang luhur dan bersyukur. Jangan jadi seperti Qarun, seorang jutawan Mesir yang telah dibinasakan Allah bersama hartanya kerana kufur nikmat.

Ayuh sama-sama kita berusaha mendidik jiwa kita agar sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat kurniaan-Nya. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah:

1.   Sentiasa mendidik jiwa untuk terus bersyukur.
2.   Mempertingkatkan ibadat wajib dan ibadat sunat.
3.   Berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah.
4.   Peka dan bersimpati terhadap penderitaan orang lain.
5.   Berfikir tentang nikmat kurniaan Allah kepada diri sendiri.
6.   Bersifat qona’ah iaitu berasa cukup dengan kurniaan Allah.
7.   Berdoa supaya tetap mensyukuri nikmat Allah:

رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَى وَالِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِيْ ذُرِّيَّتِيْ إِنِّيْ تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّيْ مِنَ المُسْلِمِيْنَ.

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibubapaku, dan supaya aku dapat mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada zuriatku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang yang berserah diri.

Kisah kerajaan Saba’

Saba’ ialah sebuah kerajaan di selatan Negara Yaman, terletak di kawasan pergunungan. Tanahnya subur kerana sentiasa disirami hujan. Namun demikian air hujan itu tidak dapat bertahan lama kerana meresap ke kawasan padang pasir berhampiran yang lebih rendah. Masalah ini dapat diatasi apabila pakar-pakar mereka berjaya membina empangan ma’arib. Air empangan itu dialirkan ke kebun-kebun. Tanah semakin subur dan hasinya melimpah ruah. Rakyat hidup mewah dan makmur selama berpuluh tahun, lalu mereka menjadi sombong dan bongkak. Mereka menggunakan nikmat itu untuk berfoya-foya dan bergelumang dengan maksiat, tanpa menghiraukan nasihat dan peringatan daripada rasul-rasul yang diutuskan Allah. Mereka lupa bahawa Allah boleh menarik balik nikmat itu bila-bila masa atas kehendak-Nya.

Akhirnya Allah menimpakan malapetaka kepada penduduk Saba’. Empangan ma’arib pecah. Terjadilah banjir besar yang menenggalami rumah-rumah, menghancurkan harta benda dan kebun-kebun yang subur. Penduduk yang selamat kehilangan segala-galanya. Mereka berusaha menanam semula kebun-kebun itu, tetapi sayang pohon-pohon tersebut mengeluarkan buah yang sangat pahit. Itulah balasan Allah terhadap orang yang ingkar nikmat, sebagaimana firman Allah ta’ala dalam surah Saba’ ayat 16 yang bermaksud: “Tetapi mereka berpaling ingkar, maka Kami datangkan kepada mereka banjir besar dan Kami ganti dua kebun mereka yang subur dengan dua kebun yang ditumbuhi pohon yang berbuah pahit..”.

Sungguh, janji Allah itu benar. Setiap amal perbuatan kita akan dibalas sama ada cepat atau lambat. Cara yang baik untuk kita sentiasa sedar ialah saling menasihati dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Peringatan buat diriku juga atas segala perkongsian ilmu. Insan ini juga masih memerlukan bimbingan.  Semoga setiap perkongsian bermanfaat untuk  semua. Semoga tidak jemu dan bosan membacanya. Wallahua’lam.

No comments: