Monday 8 October 2012

Dia Adalah Saudariku!!


Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (syurga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. [Al-A’raaf,43]

Alhamdulillah untuk semuanya..kali ni nak mengulas secebis coretan yang agak panjang dalam ‘Nota Hatiku’...selagi berkesempatan. Ingin saya kongsikan sebuah kisah yang begitu menyentuh hati, untuk mengingatkan kita semua agar mensyukuri tarikan nafas kita pada hari ini dengan bersegera pada ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana esok, atau mungkin sesaat lagi, kita akan berlalu dari dunia ini, menuju kepada kebahagiaan abadi, atau siksa abadi....!

Dia Adalah Saudariku!!


Pipinya cengkung, dan kulitnya membalut tulangnya. Hal itu tidak menghentikannya kerana kamu takkan melihatnya tidak membaca Al-Qur’an. Dia selalu terjaga di ruang solatnya yang ayah bangunkan untuknya. Ruku’, sujud, dan mengangkat tangannya ketika solat, seperti itulah dia sejak fajar hingga matahari terbenam dan kembali lagi, kejenuhan itu untuk orang lain (bukan bagi dirinya).  Adapun aku, aku dengan minatku tidak lain selain majalah fashion dan novel. Aku gemar menonton video hingga perjalananku ke tempat sewa, video menjadi trademark-ku. Ada sebuah pepatah bahawa jika sesuatu telah menjadi kebiasaan, orang-orang akan mengenalimu dengannya. Aku lalai dari kewajipanku dan solatku ditandai dengan kemalasan.


Suatu malam, setelah tiga jam yang panjang menonton, aku mematikan video. Azan dengan lembut membangunkan malam. Aku menyelinap dengan damai ke dalam selimutku. Suaranya memanggilku dari ruang solatnya.

“Ya? Kamu ingin sesuatu Soleha?” Tanyaku. Dengan jarum tajam dia memecahkan rencanaku.

“Jangan tidur sebelum kamu solat subuh!”

“Agghh! Masih ada waktu satu jam sebelum subuh, Itu hanya Azan pertama.” Kataku. Dengan suaranya yang merdu dia memanggilku mendekat. Dia selalu seperti itu bahkan sebelum penyakit ganas itu menggoncangkan jiwanya dan menahannya di tempat tidur.

“Hanan, sudikah kamu duduk di sisiku?” Aku tidak pernah dapat menolak permintaannya, kamu dapat merasakan kemurnian dan keikhlasan pada dirinya.

“Ya Soleha?”

“Duduklah di sini.”

“Baiklah, aku duduk. Apa yang kamu fikirkan?” Dengan suaranya yang manis dia membaca: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu.” (QS Al- Imran [3] : 185)

Dia berhenti sambil berfikir. Kemudian dia bertanya, “Kamu percaya pada kematian?”

“Sudah tentu.” Jawabku.

“Adakah kamu percaya yang kamu akan bertanggungjawab terhadap apapun yang kamu kerjakan, tidak perduli itu kecil atau besar?”

 “Aku percaya, tetapi Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan kehidupan masih panjang menantiku.”

“Hentikan Hanan! Tidakkah kamu takut dengan kematian dan kedatangannya yang tiba-tiba? Lihat Nurul. Dia lebih muda darimu tetapi dia maut dalam kemalangan jalan raya. Kematian buta terhadap usia dan umurmu tidak dapat mengukur bilakah kamu akan mati.”

Kegelapan kamar itu memenuhi kulitku dengan ketakutan. “Aku takut gelap dan sekarang kamu menakutiku dengan kematian. Bagaimana aku hendak tidur sekarang? Soleha, ku ingat kamu sudah berjanji untuk pergi bercuti bersamaku sepanjang musim panas ini.”

Suaranya pecah dan hatinya gementar “Aku mungkin akan menempuh percutian yang panjang tahun ini Hanan, tetapi di tempat yang lain. Kehidupan kita semua berada di tangan Allah dan kita semua adalah milik-Nya.” Mataku basah dan air mataku mengalir di kedua-dua pipiku. Aku memikirkan penyakit ganas saudariku. Doktor telah memberitahu kepada ayahku secara peribadi, tidak banyak harapan Soleha dapat mengalahkan penyakitnya. Dia tidak diberitahu, aku  tertanya-tanya, siapa gerangan yang memberitahu kepadanya. Atau adakah dia dapat merasakan kebenaran?

 “Apa yang kamu fikirkan Hanan? Suaranya terdengar tajam.

“Kamu ingat aku katakan ini hanya kerana aku sakit? Aku harap tidak. Bahkan, aku mungkin hidup lebih lama dari orang-orang yang sihat. Berapa lama kamu akan hidup, Hanan? Mungkin dua puluh tahun? Mungkin empat puluh? Seterusnya apa?” Dalam gelap dia menyentuh tanganku dan menekannya lembut.


“Tidak ada perbezaan antara kita. Kita semua akan pergi meninggalkan dunia ini untuk tinggal di dalam Syurga atau sengsara di dalam Neraka. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. (QS Al-Imran [3] : 185)

Aku meninggalkan kamar saudariku dalam keadaan samar, kata-katanya mengiang di telingaku, “Semoga Allah menunjukimu Hanan, jangan lupakan solatmu.” Ku mendengar tangisan di pintuku pada pukul lapan pagi. Aku tidak biasa bangun di waktu seperti ini. Ada tangisan dan kebingungan. Ya Allah, apa yang terjadi? Keadaan Soleha menjadi kritikal setelah subuh, mereka segera membawanya ke hospital. Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un.

Tidak akan ada percutian pada musim panas ini. Telah ditakdirkan aku akan menghabiskan musim panas di rumah. Seolah-olah waktu berlalu selamanya ketika tiba jam 1 petang. Ibu menelefon hospital. “Ya, kamu semua boleh datang dan menjenguknya sekarang.” Suara ayah berubah dan ibu dapat merasakan sesuatu yang buruk telah terjadi. Kami segera berangkat. Di mana jalan yang sering ku lewati dan ku rasa sangat singkat? Mengapa ini terasa begitu lama? Di mana-mana kesibukan dan lalu lintas yang selalu memberiku kesempatan untuk menoleh ke kiri dan ke kanan? Semua orang menyingkir dari jalan kami! Ibu menggelengkan kepalanya dalam tangannya menangis ketika dia mendoakan Soleha. Kami tiba di lobi hospital. Seorang lelaki mengerang, sedangkan yang lainnya meninggal dalam kemalangan. Dan mata lelaki yang seorang lagi terlihat sedingin ais. Kita tidak  mampu memastikan adakah dia mati atau hidup. Soleha berada dalam wad ICU.

Kami menaiki tangga menuju ke lantai (wad)nya. Jururawat mendekati kami, “Mari saya tunjukkan kamu wad Soleha.” Ketika kami berjalan sepanjang koridor, jururawat bercerita betapa manisnya Soleha. Sedikit banyak dia meyakinkan ibu bahawa keadaan Soleha lebih baik daripada pagi tadi.

“Maaf. Tidak boleh lebih dari satu orang pengunjung memasuki wad.” Kata jururawat tersebut. Ini adalah wad ICU. Menatap ke arah jubah putih selembut salju, melalui jendela kecil di pintu, aku melihat mata saudariku. Ibu berdiri di sisinya. Setelah kurang-lebih dua minit, ibu keluar kerana tak dapat menahan tangisannya.

“Kamu boleh masuk dan mengucapkan salam kepadanya dengan syarat kamu tidak berbicara terlalu lama dengannya,” mereka berkata kepadaku. “Dua minit cukup.”

 “Bagaimana keadaanmu Soleha? Kamu baik-baik saja semalam saudariku, apa yang terjadi?” Kami berpegangan tangan, dia menekannya lembut.

“Sekarang pun, alhamdulillah, aku baik-baik saja.”

“Alhamdulillah... tapi.. tanganmu sangat dingin.” Aku duduk di sisi tempat tidurnya dan meletakkan tanganku di lututnya. Dia tersentak.

“Maaf, sakit ya?”

“Tidak, hanya saja aku teringat firman Allah; dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan)[Kerana hebatnya penderitaan di saat akan mati dan ketakutan akan meninggalkan dunia dan menghadapi akhirat.]-QS Al-Qiyamah;29”


“Hanan, doakan aku. Mungkin aku akan segera bertemu hari pertama dari hari akhirat (yakni di kuburan). Itu adalah perjalanan yang panjang dan aku belum mempersiapkan amalan yang cukup dalam perbekalanku.”

Sebutir air mata menitik dan meluncur ke pipiku mendengar kata-katanya. Aku menangis dan dia ikut menangis bersamaku. Ruangan menjadi kabur dan membiarkan kami dua bersaudara menangis bersama. Titisan air mata jatuh ke telapak tangan saudariku, yang ku genggam dengan kedua tanganku. Ayah saat ini menjadi lebih khuatir melihatku. Aku tak pernah menangis seperti ini sebelumnya. Di rumah dan ditingkat atas di kamarku, aku menyaksikan matahari berlalu dengan hari yang penuh kesedihan. Kesunyian mengapung di koridor rumah kami. Secara bergiliran sepupu-sepupuku masuk ke kamarku. Banyak pengunjung dan semua suara bercampur baur di lantai bawah. Hanya satu hal yang jelas saat itu – Soleha telah pergi! Aku berhenti membezakan siapa yang datang dan siapa yang pergi. Aku tidak dapat mengingati apa yang mereka katakan. Ya Allah, di mana aku? Apa yang terjadi?

Bahkan aku tidak dapat menangis lagi. Beberapa hari kemudian mereka menceritakan kepadaku apa yang terjadi. Ayah telah menarik tanganku untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudariku untuk yang terakhir kalinya. Aku mencium kepala Soleha.

Aku hanya teringat satu hal ketika menyaksikannya terbujur di tempat tidur – tempat di mana dia akan meninggal. Aku teringat ayat yang dibacanya: “dan bertaut betis (kiri) dan betis (kanan).”

Dan aku tahu pasti kebenaran ayat berikutnya: “kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu dihalau.” (QS Al-Qiyamah [75] : 30)

Aku menyusup ke ruang solatnya malam itu. Menatap pada pakaian yang diam dan cermin yang bisu. Aku bersungguh menjaga dia yang telah berkongsi rahim ibuku denganku. Soleha adalah saudara kembarku. Aku teringat dia yang dengannya aku berkongsi kesedihan, memberi ketenangan di hari-hari hujanku. Aku teringat dia yang berdoa agar aku mendapat petunjuk dan dia yang menitiskan begitu banyak air mata pada kebanyakan malam yang panjang mengingatkanku akan kematian dan hisab. Semoga Allah menyelamatkan kami semua.

Malam ini adalah malam pertama Soleha yang perlu dia lalui di kuburnya. Ya Allah, rahmatilah dia dan terangilah kuburnya. Inilah Al-Qur’an dan sajadahnya. Dan inilah pakaian berwarna mawar musim lalu yang dia katakan kepadaku akan disimpannya sampai dia berkahwin, pakaian yang hanya disimpannya untuk suaminya kelak. Aku teringat saudariku dan menangisi semua hari-hari yang telah lalu. Aku berdoa kepada Allah agar melimpahkan rahmatnya kepada kami, menerima ibadahku dan mengampuniku. Aku berdoa kepada Allah untuk meneguhkan Soleha di dalam kuburnya sebagaimana yang selalu dia ucapkan di dalam doanya. Pada saat itu, aku berhenti. Aku bertanya kepada diriku apa jadinya jika akulah yang mati. Ke mana aku akan menuju? Ketakutan memenuhiku dan air mataku mulai mengalir lagi.

 Allahu Akbar. Allahu Akbar.... “Azan pertama terdengar lembut dari masjid. Ia terdengar begitu indah kali ini. Aku merasa tenang dan nyaman ketika mengikuti bacaan muadzin. Ku lilitkan syal di pundakku dan berdiri untuk solat subuh. Aku solat seolah-olah itulah solat terakhirku, solat perpisahan. sama seperti apa yang Soleha lakukan kelmarin. Itu adalah solat subuh terakhirnya. Kini, dan Insya Allah sepanjang sisa hidupku, jika aku bangun di pagi hari aku tidak lagi menganggap akan hidup hingga malam, dan di malam hari aku tidak menganggap akan tetap hidup di pagi hari. Kita semua akan menuju perjalanan ke tempat  Soleha. Apa yang telah kita persiapkan untuknya?

Sumber: Azzaman al-Qadim, Maktabah Raudhah al-Muhibbin

Semoga kisah ini bermanfaat buat pembaca dan buat diri saya juga. Sekiranya ada kesilapan dalam penulisan ini harap dimaafkan.. Wa Allahu a’lam.



JADILAH ANAK-ANAK AKHIRAT

Ali bin Abi Thalib berkata:

“Dunia itu akan pergi menjauh. Sedangkan akhirat akan
mendekat. Dunia dan akhirat tesebut memiliki anak. Jadilah
anak-anak akhirat dan janganlah kalian menjadi anak dunia.
Hari ini (di dunia) adalah hari beramal dan bukanlah hari
perhitungan (hisab), sedangkan besok (di akhirat) adalah hari
perhitungan (hisab) dan bukanlah hari beramal.”
(HR. Bukhari secara mu’allaq –tanpa sanad)

2 comments:

Mieysha Nafeeza said...

sedih nye cter ni..smga bermanfaat utk semua..tq post kn cter ni..

Sayap Pejuang said...

salam, ukhti.. sungguh, kisah ini sangat menjentik rasa hatiku.. membuka mata, membangunkan jiwa, betapa kemanisan dunia hanya sementara.. betapa perjalanan hidup ini terlalu singkat.. terlalu singkat utk disia2kan.. =']