Saturday 4 June 2011

Kisah nafsu yang degil pada perintah Allah s.w.t.




Dalam sebuah kitab karangan Usman bin Hassan bin Ahmad Asy-Syaakir Al-Khaubawiji’, seorang ulama yang hidup dalam abad yang ke XII hijrah menerangkan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai akal mengadaplah engkau.”
Maka akal pun mengadap ke hadapan Allah s.w.t. Kemudian  Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wahai akal baliklah kamu!.” Lalu akal pun baliklah. Kemudian Allah pun berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai akal, siapakah Aku?” Lalu akal pun berkata, Engkau adalah tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu yang lemah dan dhaif. Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai akal tidak Ku ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.”
Setelah itu Allah s.w.t. menciptakan nafsu dan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Wahai nafsu, mengadaplah kamu! Nafsu tak menjawabnya sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?” Lalu nafsu berkata: “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Setelah itu Allah s.w.t. menyeksanya ke dalam neraka jahanam selama 100 tahun dan kemudian mengeluarkannya.
Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?” Lalu nafsu berkata: “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Lalu Allah s.w.t. menyeksa nafsu itu ke dalam neraka jahanam selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah .s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Siapakah engkau dan siapakah Aku?” Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata: “Aku adalah hambaMu dan Engkau adalah tuhanKu.
Di dalam kita tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah s.w.t. mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat. Oleh itu, hendaklah kita mengawal nafsu. Jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan musnah.

“Bila hati mengadap tuhan, baru ku sedar ada kelemahan, terasa kerdil berbanding yang Esa, terharu terfikir betapa agongnya tuhan.’

No comments: